10 maut dalam insiden tembakan di Montenegro

Insiden tembakan itu turut berlaku di beberapa lokasi berasingan. (FOTO: The Guardian)
- Advertisement -

CETINJE: Sekurang-kurangnya 10 orang termasuk dua kanak-kanak terbunuh pada Rabu selepas seorang lelaki bersenjata melancarkan serangan tembak-menembak di empat lokasi berasingan.

- Advertisement -

Ketua Polis Montenegro, Lazar Scepanovic berkata, pihaknya telah melakukan misi selama berjam-jam bagi memburu suspek sebelum berjaya menemuinya.

“Dia telah membunuh empat orang di restoran, dan kemudian meneruskan menembak di tiga lokasi lagi. Dia cuba meragut nyawa empat orang lagi, sebelum melarikan diri dengan kenderaan yang digunakannya, sama seperti ketika kami temuinya.

“Suspek telah menembak kepalanya sendiri apabila dikepung oleh pihak polis. Percubaan telah dibuat untuk membawanya ke pusat klinikal, tetapi dia meninggal dunia akibat kecederaannya dalam tempoh itu.

“Suspek dipercayai telah mengambil minuman beralkohol sepanjang hari sebelum kejadian antara dia dan tetamu lain di restoran itu,” katanya kepada pemberita.

Dalam insiden tembakan yang bermula sekitar 5:30 petang waktu tempatan, suspek yang berusia 45 tahun itu menembak mati sekurang-kurangnya 10 orang, dua daripadanya berumur 10 dan 13 tahun.

Empat mangsa yang lain pula mengalami cedera parah dan dibawa ke hospital di ibu negara, Podgorica sebelum keadaan mereka disahkan ‘tidak lagi dalam bahaya’.

Polis telah menolak bahawa insiden itu adalah pertarungan antara ‘kumpulan penjenayah terancang’ dan memaklumkan bahawa senjata api yang digunakan oleh suspek adalah haram.

Kerajaan mengisytiharkan tiga hari berkabung di seluruh negara bermula Khamis susulan daripada insiden tersebut. – Agensi / HARAKAHDAILY 2/1/2025

- Advertisement -