
HULU LANGAT: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kawasan Hulu Langat mengambil inisiatif sempena sambutan Tahun Baru 2025 dengan menyantuni mantan-mantan pimpinan komuniti India di sekitar kawasan ini.
Pegawai Khas mewakili kaum India DUN Semenyih, Poobalan Pannir Selvam berkata, program Ziarah Kasih di sekitar Hulu Langat merupakan salah satu usaha PAS dengan membawa prinsip berkebajikan.
“Kami adakan program ini bertujuan meningkatkan hubungan dengan masyarakat setempat yang telah sedia terjalin. Jasa mereka sebelum ini pernah bersama dalam Persatuan Komuniti India di bawah pimpinan saya.
“Oleh itu, saya tidak akan melupakan mereka dan sentiasa menganggap mereka sebagai sebahagian daripada keluarga.
“Kami sentiasa mengambil cakna supaya tiada sesiapa pun yang dibiarkan dalam kelaparan dan inilah cara kami memulakan Tahun Baru 2025 ini,” katanya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Ketua Penerangan DHPP Selangor berkata, keharmonian antara kaum di Malaysia adalah penting untuk memastikan kestabilan dan kemajuan negara.
Justeru, Poobalan turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2025 kepada semua Ahli PAS dan masyarakat berbilang bangsa di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 2/1/2025











