‘PAS parti manusia, bukan jin, jauh sekali toyol’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa PAS adalah parti yang dianggotai manusia, bukan jin apatah lagi toyol.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas itu membidas kenyataan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Nur Jazlan Mohammad dan menegaskan PAS tidak pernah mendakwa ia sebagai ‘parti malaikat’.

Beliau menyatakan, jika ada yang menganggap PAS seperti ‘parti malaikat’ kerana sering membicarakan perkara baik, ia mungkin berpunca daripada perspektif individu yang terbiasa berada dalam suasana negatif. 

“Ia seperti orang yang berada dalam gelap malam, melihat orang berlampu lilin pun sudah terang benderang.

“Sedangkan bagi orang yang berlampu lilin, itu ialah cahaya yang biasa. Apatah lagi jika melihat orang yang berlampu suluh, sudah tentu sangat dicemburui,” katanya dalam media sosial miliknya hari ini.

Beliau menyindir bahawa mungkin Nur Jazlan sedang ‘meraba-raba mencari cahaya’ dalam kegelapan, lalu menjadi silau apabila terlihat lampu suluh yang dibawa oleh PAS. 

Mengulas isu keadilan, Ahmad Fadhli menegaskan bahawa PAS memperjuangkan hak sesiapa sahaja yang layak menurut Perlembagaan.

Termasuk dalam membela bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak jika benar terdapat Titah Adendum yang memberi hak kepadanya. 

Beliau turut membidas segelintir pemimpin yang bersikap seperti ‘toyol’, iaitu hanya bertindak mengikut arahan tuan mereka.

“Toyol walaupun hanya makhluk khurafat, hanya bertindak apabila diarah oleh tuannya. Diarah tuan untuk mencuri, mencurilah ia. Diarah tuan untuk diam, diamlah dia,” katanya.

Begitu juga menurutnya, ada pemimpin yang lantang menuntut permohonan maaf daripada DAP atas tuduhan terhadap BN, tetapi akhirnya membisu seribu bahasa apabila disergah oleh DAP.

Ahmad Fadhli turut menekankan bahawa walaupun PAS ‘tiada pitih’ (tidak memiliki wang banyak), parti itu tidak akan merompak harta negara demi kepentingan sendiri.

“Duit PAS ada dalam kocek ahli-ahlinya. Jangan pula menjadi toyol untuk mencuri duit PAS,” sindirnya. 

Kenyataan itu jelasnya dibuat sebagai reaksi ringkas kepada kritikan Datuk Nur Jazlan terhadap PAS baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 2/1/2025

- Advertisement -