
MARANG: Ketika Umno dan Barisan Nasional (BN) mentadbir Terengganu sebelum ini mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil royalti petroleum.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, boleh dikatakan 80 hingga 90 peratus sumber pendapatan negeri ketika itu hasil daripada royalti petroleum.
“Soalan saya kepada pemimpin Umno, sejak era Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Dato’ Seri Idris Jusoh, Dato’ Seri Ahmad Said dan Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, mereka tadbir Terengganu menggunakan sumber hasil daripada mana.
“Tidakkah hanya bergantung kepada royalti petroleum. Hanya sekitar 10 peratus sahaja hasil daripada sumber lain,” katanya di sini.
Terengganu tidak lagi mendapat bayaran tunai royalti petroleum selepas kerajaan Madani menguasai Putrajaya.
Bagaimanapun hasil rundingan yang dibuat dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mendapatkan kelulusan wang royalti tahun ini berjumlah RM792.32 juta.
Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berdasarkan anggaran keseluruhan, wang royalti sepatutnya diterima pada tahun lalu dan tahun ini masing-masing sebanyak RM1.524 bilion.
Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu berkata, mulai tahun 1999 royalti petroleum ditukar kepada wang ehsan oleh kerajaan pusat selepas Terengganu ditadbir PAS.
“Sebelum ini bayaran royalti dibayar terus Petronas kepada kerajaan negeri. Namun pada 1999 Petronas bayar kepada Kementerian Kewangan dan kementerian bayar kepada kerajaan negeri.
“Sekarang kerajaan Madani membayar kepada Terengganu secara runcit-runcit, dan tidak lagi seperti dahulu.
“Ini menyebabkan terhalang banyak program dan agenda pembangunan yang dirancang apabila kerajaan pusat menyekatkan bayaran petroleum,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/1/2025




















