
KUALA LUMPUR: UMMAH menyeru semua pimpinan dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam untuk hadir bersama-sama menyokong ‘Himpunan Bangkit Ummah’ yang akan diadakan pada 3 Januari (Jumaat) bertempat di Masjid Kampung Bharu, di sini.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa berkata, himpunan yang akan dilaksanakan esok merupakan satu usaha penting untuk menyatukan umat Islam.
Khususnya kata beliau, dalam menghadapi ancaman dan cabaran semasa serta memperkukuhkan solidariti bersama dalam membela agama, bangsa, dan negara.
“Ia menjadi wadah bagi kita untuk menzahirkan suara hati dan kebimbangan terhadap isu-isu yang semakin memuncak, terutama yang melibatkan kedudukan dan hak-hak umat Islam di negara ini.
“Antara isu yang akan dibawa dalam perhimpunan tersebut adalah berkaitan dengan bantahan terhadap perkara yang dikaitkan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.
“Isu berkaitan Hannah mengenai penerbitan buku berjudul ‘Becoming Hannah’ yang didakwa mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus antara perkara perlu dipandang serius dan wajar ditentang, katanya kepada Harakahdaily.
Tambah Mohd Zai, isu terbaharu yang ditimbulkan oleh Kor Ming apabila melakukan ritual sambutan Krismas di pejabat kerajaan baru-baru ini.
Oleh itu, beliau berharap kehadiran pelbagai NGO, dan umat Islam yang prihatin dapat memberi impak besar dalam memperkukuh solidariti ukhuwah dan memberikan isyarat jelas kepada pihak berwajib bahawa umat Islam tetap teguh dalam memperjuangkan hak dan kepentingan mereka.
“Kami menyeru semua pihak untuk hadir beramai-ramai dan bersama-sama ke himpunan ini demi masa depan yang lebih gemilang untuk ummah.
“Semoga usaha ini diberkati dan mendapat keredhaan Allah SWT,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/01/2025











