EPIC Berhad raih kontrak utama daripada PETRONAS

- Advertisement -

KEMAMAN: Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) melalui anak syarikatnya, EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB), berjaya memperoleh kontrak lima tahun daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali), anak syarikat milik penuh PETRONAS. 

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Ts Muhtar Suhaili berkata, kontrak itu melibatkan penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pentauliahan, dan pengubahsuaian (MCM) serta penyambungan dan pentauliahan (HUC) Pan Malaysia untuk Pakej A2 bagi Aset Semenanjung Malaysia – Gas. 

Katanya, kontrak tersebut memperkukuh kedudukan EOGSB sebagai penyedia perkhidmatan diyakini yang berperanan menyokong kemapanan aset dan kecekapan operasi PETRONAS Carigali di Semenanjung Malaysia untuk memenuhi keperluan tenaga semasa dan masa hadapan.

“Pihak syarikat berbangga dapat meraih kontrak daripada PETRONAS Carigali yang jelas menunjukkan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan berkelas tinggi dalam sektor minyak dan gas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kontrak tersebut akan berkuat kuasa sehingga September 2029 dengan pilihan lanjutan selama tiga tahun, diikuti dua tahun tambahan.

Langkah ini jelasnya, meletakkan EOGSB dalam kedudukan strategik untuk pertumbuhan mampan dan kerjasama jangka panjang dalam sektor minyak dan gas negara. 

“Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai salah satu peneraju dalam industri tenaga di Malaysia, tetapi juga sejajar dengan matlamat untuk menjana pertumbuhan lestari dan menjalin kerjasama jangka panjang bagi menyokong keperluan tenaga negara,” ujarnya. 

Tambah beliau, EOGSB memiliki rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan projek penyelenggaraan minyak dan gas berskala besar dan kompleks.

“Syarikat sebelum ini telah dianugerahkan kontrak Penyelenggaraan, Pembinaan dan Pengubahsuaian Pan Malaysia (PM-MCM) bagi Pakej B2 oleh ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (EMEPMI).

Bernilai RM500 juta, kontrak enam tahun termasuk satu tahun lanjutan tersebut telah bermula pada 17 Julai 2018 dan tamat pada 31 Disember 2024.

“Selain kontrak besar dan utama tersebut, EOGSB baru-baru ini juga telah dilantik sebagai kontraktor panel untuk Unit Operasi Hiliran PETRONAS bagi kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian (CMW).

Kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan selama satu tahun diikuti satu tahun lagi ini meliputi Pantai Timur, Pantai Barat, dan Selatan Malaysia.

“Pakej pembinaan dan pengubahsuaian (CMW) ini jelas membuktikan keupayaan syarikat dalam menguruskan projek bernilai tinggi secara cekap untuk operasi di pelbagai wilayah,” jelasnya. 

Beliau berkata, dengan kejayaan meraih pelbagai kontrak besar dan utama, EPIC Berhad berada dalam haluan strategik untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap tenaga Malaysia dan memperkasakan keterjaminan tenaga negara. – HARAKAHDAILY 2/1/2025

- Advertisement -