
KOTA BHARU: Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyeru umat Islam untuk menjadikan tahun baharu ini sebagai platform mencapai kejayaan yang lebih bermakna, berlandaskan semangat dan azam baharu.
Dalam perutusannya sempena Tahun Baharu 2025, baginda melahirkan rasa syukur atas pencapaian yang diraih sepanjang tahun 2024, termasuk kejayaan MAIK mencatat kutipan zakat tertinggi dalam sejarah penubuhannya.
Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bertitah, berbekalkan rahmat Ilahi serta sokongan padu daripada semua pihak, pelbagai kejayaan telah dicapai oleh MAIK, baik di peringkat kebangsaan mahupun negeri.
Sebagai agensi primer dalam pentadbiran hal ehwal Islam di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, MAIK titahnya akan terus menggiatkan usaha menyemarakkan syiar Islam di Kelantan.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja MAIK atas komitmen mereka dalam melaksanakan tugas demi kemaslahatan ummah.
Penghargaan sama turut diberikan kepada pembayar zakat, pewakaf, dan penyumbang dana awam yang sentiasa memberi kepercayaan kepada MAIK untuk menguruskan harta ummah dengan amanah.
Baginda juga mendoakan agar umat Islam terus bersatu, membina kekuatan dan mampu mendepani cabaran mendatang dengan penuh iltizam dan keikhlasan.
“Semoga segala usaha yang dilaksanakan pada tahun ini akan diberkati Allah SWT dan diberikan ganjaran kebaikan berlipat ganda,” titahnya.
Perutusan ini disampaikan pada 1 Rejab 1446, bertepatan dengan 1 Januari 2025, dengan tema ‘Islam Penyuluh Hidup’. – HARAKAHDAILY 2/1/2025











