Rejab: Pugar usaha keharmonian dan penyatuan umat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bulan Rejab yang diiktiraf sebagai salah satu daripada empat bulan haram dalam Islam perlu dimanfaatkan untuk menyuburkan keharmonian dan penyatuan umat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud. 

Beliau merujuk hadis riwayat al-Bukhari daripada Abi Bakrah RA bahawa Rasulullah SAW memberitahu bahawa setahun mengandungi 12 bulan, dengan empat bulan haram termasuk Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab Mudhor antara Jumadi al-Akhir dan Sya’ban.

Menurutnya, bulan haram adalah tempoh gencatan senjata pada zaman dahulu untuk mengukuhkan persefahaman dan kekuatan antara pihak bertelagah, dan prinsip itu kekal relevan hingga kini. 

Justeru jelasnya, bagi meneruskan agenda keharmonian dan penyatuan, seluruh rakyat negeri Kelantan, khususnya umat Islam, diingatkan agar mensyukuri nikmat Allah yang dikurniakan serta nikmat keamanan negara dengan beberapa tindakan.

“Pertamanya, mempertingkatkan iman dan takwa kepada Allah SWT. Keduanya, melaksanakan tuntutan Allah dengan sempurna dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Ketiganya, mempertahan Islam sebagai agama yang dilaksana dalam semua aspek kehidupan.

“Insya-Allah melalui gagasan meletakkan agenda menjaga keharmonian antara kaum di negeri ini akan memberikan nilai tambah kehidupan bermasyarakat yang lebih baik dan sejahtera dengan memegang prinsip menghormati antara satu sama lain.

“Kita mungkin berbeza kaum dan agama tetapi kita hidup sebagai sebuah masyarakat yang saling toleransi dalam meraikan perbezaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Begitu juga jelasnya, dalam hal-hal melibatkan khilaf sesama umat Islam, ianya tidak sepatut diperbesarkan secara berpanjangan sehingga mencarik hubungan.

Beliau berkata, menghargai sebuah penyatuan lebih utama daripada terjebak dalam lingkaran khilaf tidak berkesudahan yang akhirnya merugikan agama dan bangsa.

Rejab juga katanya, adalah ingatan kepada hampirnya bulan yang terdapat di dalamnya malam diberkati dengan pahala seribu bulan iaitu Ramadan.

“Dengan doa harapan agar kita sempat beribadat di bulan Syaaban dan Ramadan nanti sebagai bulan amalan baik yang diganjar pahala berganda,” katanya.

Di samping itu, beliau menyeru agar doa dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk saudara-saudara di bumi Palestin, Syria, dan negara lain yang ditindas.

“Kita memohon kepada Allah agar memberikan ketenangan, bantuan, dan nusrah kepada mereka, serta menghancurkan musuh-musuh mereka. Yakinlah, akan ada sinar buat mereka yang ditindas dan dizalimi,” katanya. 

Beliau berharap agar semua umat Islam dirahmati Allah SWT dan diakhiri kehidupan dengan husnul khatimah dalam keredaan-Nya. – HARAKAHDAILY 2/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -