
PASIR PUTEH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Mohd Rodzi Ja’afar telah mengadakan pertemuan bersama China Communications Construction Company (CCC) dan Malaysia Rail Link (MRL) semalam.
Pertemuan itu bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan Gaal.
Perbincangan tersebut turut disusuli dengan lawatan ke beberapa tapak pembinaan untuk menilai keadaan infrastruktur terjejas, khususnya jalan-jalan yang rosak akibat kerja-kerja pembinaan.
Rodzi berkata, fokus utama perbincangan adalah mencari penyelesaian segera kepada masalah yang dihadapi penduduk kampung, terutama kerosakan jalan utama.
Menurutnya, jalan-jalan ini merupakan laluan penting bagi penduduk ke sekolah, tempat kerja, dan pusat kesihatan.
Namun tambahnya, ia mengalami kerosakan teruk akibat penggunaan kenderaan berat daripada tapak pembinaan.
Selain itu, menurutnya lagi isu debu tanah dan selut yang menyelubungi jalan turut dibangkitkan.
“Masalah ini perlu ditangani segera kerana ia memberi kesan langsung kepada kehidupan harian penduduk. Kita tidak mahu pembangunan ini menjejaskan kesejahteraan mereka,” kata Rodzi.
Dalam lawatan ke tapak, beliau bersama wakil CCC dan MRL meninjau lokasi kritikal, termasuk laluan utama yang menghubungkan beberapa kampung.
Tinjauan mendapati beberapa jalan berada dalam keadaan tidak selamat untuk digunakan, manakala laluan alternatif yang disediakan tidak memadai dan perlu diperbaiki segera.
Pihak CCC dan MRL memberikan komitmen untuk mempercepatkan proses pembaikan jalan-jalan rosak.
Mereka memberi jaminan bahawa jalan-jalan ini akan dibaiki dalam tempoh terdekat, dengan keutamaan diberikan kepada laluan yang paling kritikal.
Laluan alternatif juga akan dinaik taraf bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk.
Pasukan khas telah ditubuhkan untuk memantau kerja-kerja pembaikan agar berjalan lancar dan berkualiti.
Pada pertemuan itu, Rodzi turut mencadangkan pihak CCC dan MRL menyediakan pelan komunikasi yang lebih baik dengan penduduk kampung.
Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani segera dan pelan pembinaan seterusnya lebih mengambil kira kepentingan masyarakat setempat.
“Kami menghargai komitmen pihak CCC dan MRL dalam menangani masalah ini.
“Saya akan terus memantau perkembangan kerja pembaikan ini bagi memastikan kebajikan penduduk kampung tidak terjejas oleh projek pembangunan besar seperti ECRL,” tambah beliau.
Projek ECRL dijangka menjadi nadi penghubung antara Pantai Timur dan Pantai Barat Malaysia. – HARAKAHDAILY 2/1/2025











