
TANAH MERAH: PAS Kawasan dan Pemuda PAS Kawasan Tanah Merah membuat laporan polis terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, atas tindakannya mempromosikan perayaan Krismas di peringkat kementerian baru-baru ini.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini petang semalam dengan kehadiran lebih 50 orang penyokong.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Tanah Merah, Mohd Farhan Shamsuddin menyifatkan tindakan tersebut sebagai mengganggu sensitiviti umat Islam dan melanggar batasan Perlembagaan Malaysia.
“Bagi kami, tindakan ini serius. Ia seolah-olah menjadi permulaan untuk mempromosikan agama lain selain Islam di Malaysia.
“Walaupun kita menghormati agama lain, ia mesti dilakukan mengikut undang-undang dan Perlembagaan yang melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam di negara ini,” katanya.
Farhan turut menegaskan PAS Kawasan Tanah Merah hadir beramai-ramai ke IPD Tanah Merah untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap tindakan tersebut.
“Kami menolak sekeras-kerasnya tindakan sebegini. Kami juga meminta pihak berkuasa menyiasat perkara ini di bawah Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tambahnya ketika ditemui selepas perhimpunan itu.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanah Merah, Wan Abu Bakar Wan Mahusin, pula menyatakan tindakan menteri tersebut mencabar kedaulatan Islam, terutama apabila majlis yang dianjurkan itu dihadiri kakitangan KPKT termasuk umat Islam atas arahan pihak atasan.
“Ini keberanian di luar batasan. Mufti sebelum ini telah menyatakan bahawa kehadiran umat Islam dalam majlis sedemikian adalah salah dari sudut agama, selain melanggar undang-undang apabila dianjurkan di pejabat kementerian,” ujarnya.
Beliau menambah, tindakan sedemikian tidak seharusnya berlaku di negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas agar kejadian seumpama ini tidak berulang. – HARAKAHDAILY 2/1/2025











