
KUALA LUMPUR: Seramai 65 anak muda jati negeri Kelantan berlepas ke Tanah Suci hari ini dalam kumpulan pertama program umrah percuma anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (ATTSB) dengan kerjasama Masjid Imanul Fa’izin, Melor, Kelantan.
Pengerusi Eksekutif ATTSB, Datuk Md Daud Che Ngah, berkata program ini bertujuan menarik minat anak muda Kelantan untuk mengimarahkan masjid dan mendalami asas kerohanian serta ilmu fardhu ain sebelum menunaikan ibadah di Tanah Suci.

“Program ini diadakan sebagai langkah menyemai kecintaan kepada masjid dan membentuk golongan muda yang lebih berilmu serta beristiqamah dalam ibadah. Ia juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami untuk mendekatkan anak muda kepada Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Turut hadir pada majlis pelepasan peserta ialah Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin yang menyampaikan kata-kata semangat kepada peserta sebelum mereka berlepas.
Kumpulan pertama ini terdiri daripada 65 peserta (36 lelaki dan 29 perempuan), lima orang pengiring dari urusetia Masjid Imanul Fa’izin, serta dua orang mutawwif yang akan membimbing peserta sepanjang perjalanan selama 12 hari 10 malam.
“Peserta program ini dipilih berdasarkan komitmen mereka dalam solat berjemaah selama 30 hari tanpa gagal (90 waktu) melibatkan solat Maghrib, Isyak, dan Subuh di Masjid Imanul Fa’izin. Kejayaan ini membuktikan kesungguhan mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah,” ujarnya.
Beliau menyatakan, program ini bukan sahaja menyediakan peluang kepada anak muda untuk menunaikan ibadah umrah, tetapi juga memberi latihan rohani yang membentuk akhlak dan jiwa mereka sebagai generasi Islam yang berkualiti.
“Semoga program ini menjadi titik perubahan dalam kehidupan peserta dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mengimarahkan masjid,” katanya.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang ATTSB, Ida Riswana Idris, berkata seramai 65 peserta berjaya mengharungi cabaran selama sebulan yang memerlukan mereka solat berjemaah tanpa gagal di masjid.
“Pada peringkat awal kami 78 orang yang kami temu duga tetapi disebabkan pelbagai cabaran dan dugaan hanya tinggal 66 peserta yang layak,” katanya.

Salah seorang peserta, Ahmad Shakirin Salahuddin, 25, yang merupakan pekerja swasta, turut berkongsi cabaran yang dihadapinya untuk ke masjid setiap hari.
“Ketika banjir melanda kawasan rumah saya, perjalanan ke masjid menjadi sangat mencabar. Saya terpaksa menempuh air banjir dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan kehadiran berjemaah dicatatkan setiap hari,” katanya.- HARAKAHDAILY 28/12/2024




















