MESRA sasarkan bantu mangsa banjir kalangan OKU

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Misi bantuan banjir yang dijalankan berjaya diselesaikan dengan jayanya melibatkan penyampaian sumbangan kepada penerima sahabat banjir orang kelainan upaya (OKU), di sini semalam.

- Advertisement -

Setiausaha Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Kelantan (MESRA), Norsyamimi Ab Manah berkata, sumbangan berkenaan merupakan inisiatif daripada Poliklinik Dr Azhar, keluarga serta orang ramai.

Katanya, sebanyak 65 pek barangan asas disediakan bagi membantu mangsa banjir kalangan warga OKU, Penyelaras Pembangunan Armalah DUN (PPAD) yang diadakan di Pusat Tarbiah PAS Kawasan Rantau Panjang.

Jelasnya, seramai 20 orang sukarelawan membantu jayakan majlis berkenaan.

“Semoga dengan sumbangan ini, sedikit sebanyak pahalanya diberi ganjaran oleh Allah SWT serta merahmati kita semua,” ujar Shamimi ketika dihubungi.

Sebelum ini seramai 50 sukarelawan daripada MESRA turun padang bagi membantu proses pengagihan barangan serta kerja-kerja pembungkusan bersama pertubuhan lain termasuk FGV Holdings Berhad (FGV) baru-baru ini.

Sebanyak 1,200 pek makanan berjaya diurus MESRA sempena program bersama FGV.

Selain itu, MESRA di peringkat Parlimen seluruh Kelantan juga turun padang membantu bersih rumah mangsa banjir bersama Skuad Gonyoh Gaha.

Kata Syamimi lagi, MESRA bukan sahaja aktif di Rantau Panjang dan Pasir Mas tetapi turut menyertai misi bantuan di lokasi lain seperti Tumpat dengan membawa tenaga kerja tambahan dari negeri lain.

“Sabtu lepas kami telah menghentikan operasi membersih rumah kerana memberi ruang kepada NGO dari luar Kelantan yang datang untuk membantu.

“Kami sentiasa berusaha memberi peluang kepada sukarelawan dan penyelaras MESRA untuk turut serta dalam misi bantuan ini demi kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.

Katanya lagi, setiap kali misi bantuan dijalankan, keutamaan diberikan kepada koordinasi bersama NGO, wakil rakyat dan penghulu kawasan bagi memastikan kelancaran proses penyampaian sumbangan.

“Alhamdulillah, perjalanan misi hari ini berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak. Insya-Allah kita akan turun lagi dalam misi-misi seterusnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/12/2024

- Advertisement -