Karnival Arau Sejahtera 2025 padat pengisian

- Advertisement -

ARAU: Karnival Arau Sejahtera 2025 bakal menyajikan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif melibatkan semua lapisan masyarakat yang akan berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Kangar (MPK) pada 3 hingga 5 Januari 2025.

- Advertisement -

Ia bertujuan memperkukuhkan ukhuwah dan kesejahteraan komuniti setempat terutamanya penduduk di negeri ini.

Pengarah Program, Zulmi Sabri berkata, karnival berkenaan dirancang hasil gabungan badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat setempat dan pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, matlamat kami adalah untuk memupuk semangat perpaduan dan meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab sosial serta pembangunan komuniti,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Antara acara utama yang akan berlangsung ialah Zikra Rasul: Himpunan Pelajar Tahfiz Negeri Perlis, Forum Arau Sejahtera bersama Ustaz Yaakob Yusra, pertandingan sukaneka keluarga, Arau Food Festival, dan pelbagai pameran agensi kerajaan dan NGO.

Program turut diserikan dengan hiburan alternatif seperti Dikir Barat Kelantan dan persembahan artis tempatan.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, sementara Ceramah Mega pada malam penutup bakal menampilkan tokoh-tokoh prmimpin.

Seperti Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Selain itu, aktiviti seperti derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma, dan konvoi motosikal turut dirancang bagi merancakkan suasana karnival.

Para pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui pelbagai pertandingan yang dianjurkan.

“Kami berharap program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sosial tetapi juga menjadikan Arau sebagai contoh pembangunan komuniti yang progresif dan harmoni,” tambah Zulmi.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Arau Sejahtera 2025 yang menggabungkan elemen rohani, ilmu, sukan, dan hiburan Islami, menjadikannya platform menyeluruh untuk manfaat masyarakat. – HARAKAHDAILY 18/12/2024

- Advertisement -