
KUALA LUMPUR: Pengubahan wang haram merupakan proses mencuci wang kotor bagi menyembunyikan sumber asal sehingga terus menjadi ancaman kepada kestabilan ekonomi.
Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, pindaan itu penting bagi mengekalkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa serta meningkatkan keyakinan pelabur dan rakan dagangan terhadap sistem kewangan negara.
“Saya menyambut baik pindaan ini yang bertujuan untuk memperketatkan dan memperluaskan skop pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang.
“Akta ini sangat penting untuk memastikan supaya aset-aset negara tidak disalah guna atau dicuri untuk kegunaan peribadi ataupun pembiayaan keganasan atau untuk pembiayaan aktiviti terhad.
“Ia juga untuk memastikan bahawa Malaysia mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) untuk mengekalkan reputasi negara di peringkat antarabangsa dan membina keyakinan rakan perdagangan serta pelabur asing terhadap sistem kewangan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2024 di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Justeru, beliau menyatakan sokongan terhadap pindaan itu bertujuan memperketatkan undang-undang, memperluaskan skop penguatkuasaan dan memastikan aset negara tidak disalah guna. – HARAKAHDAILY 18/12/2024











