Pelawa rakyat untuk teroka bersama potensi nanas

Razali menerima cenderahati dari Ketua Pengarah Lembaga Nanas Negara, Khairulzamri di Kompleks Dewan Undangan Negeri, semalam - (Foto: FB Razali Bin Saad)
- Advertisement -

KANGAR: Tanaman nanas tidak memerlukan ruang besar namun berupaya mendatangkan hasil lumayan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Perladangan, Razali Saad.

- Advertisement -

Menurut Razali, kerajaan negeri bersedia membantu pengusaha nanas di negeri ini bagi meningkatkan hasil tanaman mereka.

Jelasnya, program penanaman nanas mampu memberikan hasil tuaian pertama dalam tempoh 14 bulan, diikuti tuaian kedua untuk benih dan tuaian ketiga untuk hasil tambahan.

“Banyak pencapaian yang boleh kita capai sekiranya menyertai program tanaman nanas, dengan sekali tanam dapat hasilkan tuaian dalam masa lebih kurang 14 bulan dengan tiga kali tuaian.

“Tuaian pertama dapat hasil, tuaian kedua untuk dapatkan anak benih nanas, dan tuaian ketiga menghasilkan tambahan seperti untuk ternakan terutamanya lembu,” ujarnya.

Beliau turut berkata, tanaman nanas sangat sesuai diusahakan kerana tidak memerlukan ruang yang besar tetapi mampu memberi pulangan tinggi.

“Banyak peluang yang disediakan oleh pihak lembaga untuk membantu pengusaha untuk tanam nanas di negeri ini.

“Saiznya paling minima pun boleh dikatakan dalam satu penjuru tanah boleh mencecah hasil yang banyak kerana ia tidak melibatkan ruang begitu besar,” tambah beliau.

Menurutnya, kerajaan negeri bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) akan terus berusaha menyokong pengusaha tempatan melalui kerjasama dan panduan.

Razali menggesa sesiapa yang berminat untuk mengusahakan tanaman nanas agar berhubung dengan Lembaga Nanas Kedah dan Perlis atau terus berkomunikasi dengan pihaknya mendapatkan maklumat dan bantuan lanjut.

Terdahulu, Ketua Pengarah Lembaga Nanas Negara, Khairulzamri M. Salleh, bersama pasukannya termasuk Pengarah Lembaga Nanas Kedah dan Perlis, Mohd Izwan Kasin, mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kerajaan Negeri.

Mereka membentangkan taklimat berkenaan program-program yang ditawarkan oleh Lembaga Nanas Negara untuk membantu pengusaha. – HARAKAHDAILY 18/12/2024

- Advertisement -