Ambang 2025 sambut dengan selawat, munajat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sambutan Tahun Baru 2025 di Kelantan bakal diadakan dengan pengisian kerohanian termasuk kuliah agama yang akan disampaikan pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad berkata, ia diadakan sesuai dasar ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’ (PMBI).

Pada majlis tersebut kata beliau lagi, anak muda di negeri itu turut dipelawa untuk menyertai salah satu program iaitu Anak Muda Berselawat menjelang Ambang Sambutan Yahun Baru 2025.

“Jom, ore Kelate! sertai program istimewa Ambang Tahun Baharu 2025: Anak Muda Berselawat yang bakal diadakan pada 31 Disember 2024 di Mydin Mall Tunjong, Kelantan.

“Program ini akan bermula dengan Solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan Berselawat dan Sesi Kuliah pengisian rohani bersama Ustaz Wadi Annuar,” katanya dalam satu hantaran.

Zamakhshari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra meminta agar semua rakyat dapat menyertai program tahunan itu bagi mendapat keberkatan dalam kehidupan.

Walaupun ketika ini rakyat sedang berhadapan monsun timur laut yang dijangka berakhir Mac tahun depan, sambutan tersebut tetap diadakan dengan selawat dan munajat.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran jangkaan hujan berterusan selama tiga hari di tiga negeri bermula hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan keadaan cuaca di Kelantan dan Terengganu, manakala Pahang membabitkan daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin. – HARAKAHDAILY 18/12/2024

- Advertisement -