
PADANG BESAR: Projek ladang nanas dengan keluasan 100 ekar diyakini mampu menjadi pemacu pertanian moden di negeri Perlis, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Perladangan Negeri, Razali Saad.
Menurutnya, ladang mempunyai sebanyak 1.6 juta pokok nanas jenis MD2 yang bakal membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain menyumbang kepada pendapatan negeri itu diusahakan di Chuping, di sini.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan melawat tapak Ladang Nanas Bio Green Power Sdn Bhd. Kehadiran syarikat ini membuktikan potensi besar sektor agro di negeri kita,” katanya kepada Harakahdaily, semalam.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengerusi Bio Green Power Sdn Bhd, Datuk Abdul Rahim Kasim dan Pengarah Urusan Bio Green Power Sdn Bhd, Zaidun Mohd Ramli.
Juga Ketua FGV Chuping Agro Valley, Mohd Halil Mohamad Alip dan Timbalan Ketua FGV Chuping Agro Valley, Muhammad Ehsannuddin Nor Din.
Menurut Razali, penggunaan infrastruktur moden di ladang tersebut memastikan operasi berjalan dengan lebih cekap, sekali gus memaksimumkan hasil pengeluaran nanas untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Kejayaan projek ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Perlis, khususnya dalam sektor pertanian berteknologi tinggi,” tambahnya.
Ladang ini dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh terdekat dan mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri serta memajukan industri pertanian mampan di Perlis. – HARAKAHDAILY 17/12/2024




















