MP Hulu Selangor adakan pertemuan bersama APAD

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun mengadakan pertemuan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi membincangkan isu perkhidmatan bas di kawasan Bukit Sentosa, khususnya melibatkan laluan Bukit Sentosa-Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Menurut beliau, pertemuan bersama APAD itu diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Masita Mat Isa; Pengarah Bahagian Pengangkutan Awam dan Perdagangan, Zakaria Md Tap dan Ketua Bahagian Pelesenan Komersial Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, Anuar Abdullah.

“Pihak APAD telah mengambil maklum aduan dan keluhan rakyat berkaitan keperluan tambahan perkhidmatan bas khususnya di Bukit Sentosa untuk urusan kerja serta keperluan harian.

“Alhamdulillah, tindakan pantas telah pun diambil dan dimaklumkan bahawa pihak APAD telah membuka permohonan kepada semua pengendali perkhidmatan awam bagi memastikan perkhidmatan bas khususnya bagi laluan Bukit Sentosa-Kuala Lumpur dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak APAD di atas komitmen mereka dalam menyediakan pengangkutan awam kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak APAD atas komitmen mereka dalam memastikan kebajikan rakyat serta usaha dalam menyediakan pengangkutan awam yang cekap dan inklusif,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/12/2024

- Advertisement -