Program Cakna Rakyat: Ziarah erat silaturahim

Arifin menziarahi Wan Ahmad (kiri) yang diuji strok dalam Program Cakna Rakyat di Banggol Chempedak
- Advertisement -

MARANG: Usaha memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat diteruskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman melalui program Cakna Rakyat.

- Advertisement -

Beliau menziarahi dua individu sedang berdepan ujian kesihatan di Banggol Chempedak yang menjadi tanda keprihatinan beliau terhadap kebajikan rakyat dan sokongan moral kepada kalangan memerlukan. 

Lawatan pertamanya menziarahi Wan Ahmad @ Wan Nasir Wan Ibrahim, seorang insan istimewa yang kini diuji dengan strok pada usia 74 tahun.

“Kunjungan ini mengingatkan saya tentang pentingnya silaturahim dan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan.

“Walaupun tubuh diuji, semangat dan kecekalan beliau menjadi inspirasi kepada kita semua. Saya doakan agar Wan Ahmad diberi kesembuhan oleh Allah SWT.

“(Juga) dipermudahkan segala urusan dan diberikan kekuatan kepada ahli keluarga yang menjaganya dengan penuh kasih sayang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna Negeri itu juga berkata, dalam setiap ujian, ada hikmah dan ruang untuk saling membantu serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Teruskan berdoa, kerana doa adalah senjata terkuat bagi setiap insan. Semoga Allah memberi kesembuhan yang terbaik dan melimpahkan rahmat kepada beliau serta keluarga,” katanya.

Program Cakna Rakyat diteruskan dengan kunjungan ke rumah Mohd Khaira Kadir, 61 tahun, yang kini sedang diuji ketumbuhan dalam perut.

Ariffin menyampaikan kata-kata semangat kepada Mohd Khaira dan ahli keluarganya, selain mendoakan agar segala urusan rawatan dipermudahkan dan kesembuhan segera diperoleh. 

“Setiap ujian yang Allah berikan pasti disertai dengan hikmah yang tidak ternilai. Saya mendoakan semoga Mohd Khaira diberikan kesembuhan yang terbaik, dipermudahkan segala urusan rawatan, dan terus dikurniakan kekuatan jiwa serta fizikal.

“Kepada ahli keluarga, semoga terus tabah dan cekal dalam menjaga beliau dengan penuh kasih sayang. Marilah kita bersama-sama menitipkan doa agar beliau segera sembuh dan kembali sihat seperti sediakala.

“Semoga Allah mengangkat segala kesakitan dan memberi ketabahan kepada beliau dan keluarganya,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/12/2024

- Advertisement -