
MOSCOW: Ketua Nuklear, Biologi dan Kimia Tentera Rusia terbunuh berikutan letupan bom yang disembunyikan dalam skuter elektrik, pada Selasa.
Leftenan Jeneral Igor Kirillov, terbunuh ketika meninggalkan blok kediamannya berhampiran bangunan pangsapuri di Ryazansky Prospekt, kira-kira tujuh kilometer dari tenggara Kremlin.
Kirillov memainkan peranan penting dalam mengawasi pertahanan Rusia terhadap ancaman nuklear, biologi dan kimia dan merupakan tokoh penting dalam kepimpinan tentera negara itu.
Kematian mengejutnya menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pegawai pertahanan tertinggi Rusia, serta ancaman berterusan dihadapi individu berprofil tinggi dalam ketenteraan negara itu.

Jawatankuasa penyiasat Rusia dilaporkan sedang menyiasat insiden berkenaan untuk menentukan suspek di sebalik serangan itu dan motifnya.
Gambar dari tempat kejadian menunjukkan pintu masuk ke sebuah bangunan rosak teruk, dengan kesan terbakar di dinding, beberapa tingkap yang mengalami kerosakan, selain dua beg mayat juga kelihatan di jalan.
Setakat ini tiada butiran lanjut mengenai serangan itu dan kemungkinan kaitannya dengan ketegangan geopolitik dan Rusia berkemungkinan bertindak balas dengan meningkatkan langkah keselamatan berikutan pembunuhan berprofil tinggi itu. – Agensi / HARAKAHDAILY 17/12/2024












