
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif menyalurkan bantuan awal kepada mangsa banjir mengikut keperluan mereka, terutama bagi membaik pulih kerosakan kediaman yang dialami.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan seperti pembaikan atap rumah yang tercabut dan kerosakan kecil lain dilaksanakan segera sebaik keadaan mengizinkan.
“Segala kerosakan bagi rumah-rumah yang terkesan dengan banjir itu sedang dibaiki sebenarnya, bukan nilai sahaja, (tetapi) kita terus melakukan pembaikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Imaratul Ilmi Ke-5 Kolej Al-Quran Teregganu (KQT) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Menurut beliau, impak banjir di Terengganu pada kali ini lebih minimum berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus memudahkan usaha kerajaan untuk mengurus bantuan dengan lebih pantas dan efektif.
“Kita tengok keperluan pada waktu itu sekiranya rumah itu tercabut atap dan sebagainya. Bantuan menyediakan pembaikian atap itu dibuat pada waktu itulah.
“Alhamdulillah suasana banjir kali ini sebagaimana saya sebut tadi tidaklah begitu teruk berbanding dengan tahun-tahun yang sebelum ini. Jadi kerosakan itu sampai tahap minima,” katanya.
Menurut Ahmad Samsuri kerajaan negeri akan memanfaatkan peruntukan sedia ada dan sekiranya perlu, permohonan kepada Kerajaan Pusat akan dibuat selepas penilaian penuh selesai.
“Mana-mana yang boleh kita mohon peruntukan daripada Pusat kita mohon kepada Pusat, daripada itu kita guna apa jua peruntukan yang ada di negeri.
“Buat masa ini kita belum lagi (angkat sebarang peruntukan kepada Pusat) sebab kita masih tangani dulu dan bila sudah ada jumlah, satu masa itu kita akan angkat. Tak naklah tiap-tiap bulan angkatkan untuk banjir ini.
“Sekurang-kurangnya berakhir tahun ini kita akan selesai untuk tahun ini dan bila masuk Januari itu kita berharap kita boleh jumlahkan lagilah untuk 2025,” katanya.
Mengenai jumlah kerugian atau bajet yang telah disalurkan, kata beliau, anggaran terperinci masih belum dikumpulkan memandangkan Monsun Timur Laut masih berlangsung.
“Jumlah berapa saya tak kumpul pada peringkat inilah sebab pada Monsun Timur Laut ini secara teorinya masih lagi belum berakhir,” katanya.
Menurutnya, kerosakan infrastruktur juga adalah minimum, dengan hanya berlaku beberapa insiden tanah runtuh di Jalan Persekutuan yang kini sedang ditangani oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Jalan dan infrastruktur rosak sangat minima. Tidak ada jambatan yang rosak, jalan rosak yang hanya berlaku tanah runtuh di jalan itu adalah sebahagian besarnya di Jalan Persekutuan yang diambil tindakan oleh pihak JKR,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2024




















