
KERAJAAN Gred D ini nampaknya semakin terdesak mencari jalan untuk mengalih perhatian rakyat. Terbaharu, kita disajikan dengan ‘saga’ kemasukan YBM Datuk Seri Tengku Zafrul ke dalam PKR. Hebat sungguh naratif ini seolah-olah ia satu pencapaian besar untuk negara. Rakyat diajak menonton episod drama politik yang tiada nilai tambah kepada kehidupan mereka. Hakikatnya, inilah gaya kerajaan yang kering idea – gunakan ‘wayang politik’ sebagai helah untuk sembunyikan kelemahan sendiri.
Apakah sebenarnya yang cuba disembunyikan? Pertama, Titah Adendum yang semakin membongkar kebejatan proses pengampunan Datuk Seri Najib Razak. Kedua, kegagalan kerajaan membawa usul ke Dewan Rakyat untuk menyokong Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi merujuk Tun Dr Mahathir kepada siasatan pihak berkuasa. Dua isu besar yang sepatutnya menjadi perhatian rakyat, tetapi kerajaan memilih untuk menayangkan ‘kisah dongeng’ PKR-Zafrul.
Ironinya, Anwar dengan penuh bangga mengumumkan ‘perbincangan awal’ dan ‘pendekatan terbuka’ seolah-olah rakyat peduli. Realitinya, tiada rakyat yang akan mendapat sebarang manfaat dengan kemasukan seorang menteri dari kerajaan gagal ke dalam PKR. Apa gunanya ‘mesra’ dengan semua orang jika keperitan rakyat di bawah tidak pernah dibela?
Adakah kerajaan gred D ini tiada agenda untuk rakyat? Nampaknya begitulah. Isu kos sara hidup yang semakin mencengkam, harga barang yang melambung, kebajikan penjawat awam di luar negara yang terabai – semuanya tiada dalam radar kerajaan. Sebaliknya, kita dihidangkan dengan berita sensasi dan ‘politik kosmetik’ untuk mencipta ilusi perubahan.
Rakyat sudah bosan dengan taktik lapuk seperti ini. Drama ‘Zafrul masuk PKR’ ini tak lebih dari sekadar cakap-cakap kosong yang bertujuan mengalih perhatian daripada isu sebenar. Kerajaan ini semakin hari semakin hilang hala tuju, dan rakyat semakin sedar bahawa mereka sedang diperbodohkan dengan cerita politik picisan.
Kalau inilah strategi kerajaan, tidak hairanlah mereka hanya layak digelar kerajaan Gred D – ‘D for Distraksi’.
AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/12/2024











