K’jaan ‘afterthought’, mekanisme cacat bebankan rakyat

Penyelarasan subsidi RON95

- Advertisement -

BANGI: Kerajaan perlu menyediakan mekanisme pelaksanaan yang lebih jelas dan menyeluruh sebelum penyelarasan subsidi diesel dan RON95 dikuatkuasakan bagi memastikan keadilan kepada semua rakyat, termasuk di Sabah dan Sarawak. 

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, langkah kerajaan hanya melaksanakan penyelarasan subsidi diesel di Semenanjung tanpa melibatkan Sabah dan Sarawak adalah tidak adil. 

“Jadi kita ‘question’ di dalam Parlimen, kenapa perkara itu berlaku? Apakah penyalahgunaan diesel tidak berlaku di Sabah dan Sarawak, sedangkan di Sabah dan Sarawak adalah lebih lebih luas, lebih senang berlakunya penyeludupan berbanding dengan di Semenanjung.

“Jadi kenapa polisi yang dibuat oleh kerajaan tidak seimbang sedangkan kedua-dua semua itu adalah negeri-negeri di bawah Kerajaan Malaysia?” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas Liqa’ Fikri PAS Pusat di sebuah hotel, di sini semalam.

Menurut beliau, langkah tersebut turut memberi kesan kepada industri hiliran, termasuk sektor pembuatan makanan yang melibatkan proses dari hulu ke hilir.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana kerajaan merancang penyelarasan subsidi untuk RON95, bahan api yang digunakan oleh lebih 80 peratus rakyat tempatan. 

“Di peringkat kerajaan yang mengatakan bahawasanya kita hanya kenakan penyelarasan subsidi ini kepada mereka-mereka yang berada pada tangga gaji ataupun pendapatan isi rumah T10 (atau T15).

- Advertisement -

“(Tetapi) sekarang ni kita masih lagi menunggu apakah definisi sebenar T10 yang kerajaan masih lagi tidak menyediakan apakah pendapatan sebenar isi rumah rakyat untuk T10.

“Tapi yang lebih membimbangkan kita ialah mekanisme pelaksanaan. Sebab tidak ada lagi satu penjelasan oleh kerajaan yang tuntas tentang mekanisme pelaksanaan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Jerantut itu juga menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan kecacatan dalam pelaksanaan polisi itu, yang menurutnya telah diakui oleh Perdana Menteri dalam sidang Parlimen baru-baru ini. 

“Pada pendapat saya kerajaan sekarang ini banyak bersifat ‘afterthought’, dia cakap (dulu) lepas itu baru dia fikir macam mana mechanism. Jadi itu menyebabkan pelaksanaan itu akan ada banyak kecacatan.

“Jadi saya bimbang dengan kecacatan-kecacatan ini, maka pastinya ia akan meningkatkan lagi kesusahan hidup rakyat sebab kita tahu tindakan berantai akan berlaku kerana ia adalah penggunaan majoriti rakyat Malaysia,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/12/2024

- Advertisement -