
KUALA LUMPUR: PAS Selangor amat kecewa dengan berita Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik rayuan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, keputusan tersebut telah menimbulkan pelbagai persoalan mengenai integriti sistem keadilan di Malaysia.
“PAS Selangor khuatir penarikan rayuan ini akan membenarkan lagi spekulasi bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah campur tangan dalam proses perundangan yang boleh menjejaskan kebebasan kehakiman.
“Keputusan ini juga sebenarnya boleh meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PMX bahawa beliau telah berkompromi dengan kes-kes rasuah terutamanya bagi kes melibatkan pemimpin tinggi kerajaan,” ujarnya menerusi kenyataan media di laman sosial.
Beliau berkata, PAS Selangor menuntut penjelasan daripada AGC mengenai alasan penarikan balik rayuan ini secara terperinci demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Terdahulu pada Jun 2019, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung Sistem VLN.
Ia membabitkan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta (RM47.08 juta) daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu.
Iaitu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta bagi mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta (RM4 juta), RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc (RM79,000) dan AS$15,000 (RM70,200) daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 hingga Mac 2018. – HARAKAHDAILY 15/12/2024











