
KUALA TERENGGANU: Peletakan jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) adalah sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan gabungan itu menjelang pilihan raya umum akan datang.
Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak ada kaitan dengan sebarang pergolakan dalaman PN.
“Saya boleh sebut setakat itulah tidak berlaku keretakan apa-apa, kita sedang mencari jalan untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional supaya menjadi suatu muafakat politik yang lebih kuat sebelum kita menghadap pilihan raya dalam tempoh 2 tahun lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Imaratul Ilmi Ke-5 Kolej Al-Quran Teregganu (KQT) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada peletakan jawatan itu dengan kerelaan sendiri, Ahmad Samsuri memilih untuk tidak memberikan komen.
“Saya tak nak bagi komen lagi sebab pada peringkat ini kepimpinan sedang menguruskan perkara ini,” kata ADUN Rhu Rendang yang juga Naib Presiden PAS itu.
Mengulas mengenai spekulasi bahawa keputusan itu ada kaitan dengan tindakan salah satu parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meninggalkan PN, Ahmad Samsuri menolak dakwaan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa situasi di Sabah adalah isu berasingan dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan langkah yang diambil di Semenanjung.
“Itu isu yang berasingan, saya rasa tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku di Sabah,” katanya mengulas perkembangan yang juga berlaku selepas peletakan jawatan beliau.
Pada Rabu lalu, Harakahdaily melaporkan Ahmad Samsuri mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN melalui satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan PAS Pusat.
Beliau turut memaklumkan bahawa surat peletakan jawatan tersebut telah diserahkan kepada pihak pengurusan PN pada hari yang sama.
Sementara itu, Ahmad Samsuri turut menyentuh mengenai pelbagai pandangan yang disuarakan selepas beliau membuat keputusan tersebut.
“Baca saya punya komen yang saya ‘qoute’ daripada karya Abdul Jabbar itu. Kalau boleh tafsir, tafsir daripada situlah sebab saya baca tulisan daripada penganalisis politik.
“Ramai menulis di pelbagai ruangan di sosial media, media cetak pun ada masing masing memberi dalam perspektif masing-masing.
“Saya rangkumkan bahawa semua ini adalah usaha untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan Perikatan Nasional supaya menjadi suatu kuasa baru.
“(Iaitu) untuk kita menghadapi pilihanraya yang lebih kuat dan mampu menjadi alternatif yang jauh lebih baik daripada Kerajaan yang sedia ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2024











