Pindaan Akta 588: Taktik licik sekat kebebasan suara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 (Akta 588) jelas menimbulkan kesangsian dalam kalangan rakyat akan tujuan sebenar pindaan tersebut dilaksanakan.

- Advertisement -

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Imran Sulaiman berkata, pihaknya melihat pindaan Akta 588 ini berpotensi menjadi senjata ‘serampang dua mata’ oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, RUU diluluskan melalui undi belah bahagi dengan 59 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 40 tidak menyokong, seorang tidak mengambil bahagian serta 122 tidak hadir itu boleh dimanipulasikan.

“Pertama, RUU ini dapat menangani cabaran semasa dalam komunikasi, keselamatan dan pengurusan kandungan digital. Kedua, pindaan ini berpotensi dicapahkan untuk menyekat mana-mana individu yang menentang kerajaan.

“Atas alasan mereka menyentuh isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja sekiranya RUU ini disalahgunakan,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial terhadap RUU yang diluluskan Persidangan Dewan Rakyat, 9 Disember lalu.

Pertikai Imran, pindaan itu turut menimbulkan persoalan antaranya melibatkan seperti pemeriksaan dan penyitaan boleh dilakukan meskipun waran geledah diterima cacat.

Jelasnya, antara turut dipertikaikan ialah Menteri boleh membuat kaedah-kaedah mengenai penyimpanan rekod, kuasa menteri untuk mendaftar atau membatalkan lesen sesiapa sahaja dan banyak lagi.

“Contoh-contoh yang dinyatakan di atas adalah sebagai elemen yang boleh disalah guna oleh pihak kerajaan sekiranya tiada pengawal seliaan dan semak imbang yang efektif,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, bertitik tolak dengan itu, GAMIS mencadangkan agar dapat diwujudkan satu jawatankuasa penyeliaan dari pelbagai pihak yang berkepakaran dalam bidang komunikasi dan jenayah siber.

Mereka itu syornya, mestilah bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik untuk menjadi semak dan imbang terhadap setiap keputusan kerajaan.

Di samping itu, GAMIS juga kemukanya, turut mencadangkan agar diselaraskan garis panduan dan garis merah terhadap perkara berkaitan 3R, hasutan dan sebagainya.

Katanya, garis panduan itu perlu ada secara holistik agar kesan pindaan RUU bersifat ‘draconian’ dapat mencapai objektifnya yang sebenar. – HARAKAHDAILY 15/12/2024

- Advertisement -