Politik, seni segala kemungkinan

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KALAU ditanya, apakah buku yang perlu dibaca untuk belajar ilmu politik, maka jawabnya terlalu banyak buku. Tetapi membaca buku belum tentu menjamin kita boleh faham politik.

- Advertisement -

Dalam dunia matematik biasa, 2+2=4 tetapi tidak dalam dunia politik. Kadang-kadang hasilnya mungkin 5 atau mungkin zero.

Dalam dunia biasa, sehari ada 24 jam dan seminggu ada tujuh hari. Tetapi dalam dunia politik sehari boleh ada 26 jam dan mungkin boleh ada lapan hari seminggu.

Dalam politik kita ada kawan di mana-mana. Walaupun kereta kita rosak di tengah-tengah perjalanan dalam jarak yang jauh dari kampung halaman diwaktu dinihari, tetapi kita masih ada kawan untuk dihubungi dan mereka akan segera datang membantu.

Dalam masa yang sama, kita juga ada musuh di mana-mana. Ringkasnya orang politik ramai kawan dan ramai juga lawan!

Dalam perniagaan, bila kita keluarkan modal sekian banyak dan dengan tempoh masa yang tertentu, kita boleh mengira berapa keuntungan yang bakal kita dapat. Tetapi dalam politik bukan begitu. Kita mengeluarkan sejumlah wang dari poket kita untuk belanja perjuangan, hasilnya belum tentu bila akan diperolehi malah mungkin ia cuma dinikmati oleh anak cucu kita selepas kita tiada lagi di atas muka bumi ini. Saya bertemu ramai bisnes man yang suka menyumbang tetapi mereka mudah rasa kecewa bila dirasakan pelaburan mereka belum memberikan apa-apa hasil yang dapat dilihat.

Dalam politik kita lebih banyak memberi dari menerima. Sesiapa yang menyertai politik dengan niat untuk menerima, maka lapangan politik dalam gerakan Islam bukan tempatnya. Kaedahnya, tanya dulu apa yang telah kita bagi kepada perjuangan sebelum kita tanya apa yang parti boleh bagi kepada kita.

Dalam politik kita mungkin menerima tujuh kritikan sehari berbanding hanya tiga pujian yang diterima. Sesiapa yang bertelinga nipis dan berdada sempit, politik bukanlah tempat untuk mereka.

Dalam bidang pekerjaan dan perkhidmatan, kita mungkin boleh mendapat tempat dan meningkat naik dengan kelulusan dan ijazah yang dimiliki. Tapi dalam politik jangan ingat kamu berpendidikan tinggi maka kamu akan berjaya mendapat tempat dengan mudah.

Dalam politik, kita jangan mudah koyak. Kalau nak kira semua cacian, makian dan kritikan maka kita yang berada di peringkat pimpinan ini boleh merajuk sehingga 40 kali sehari. Tapi kalau semua orang pakat merajuk belaka, siapa yang nak memimpin?

Saya berpegang dengan prinsip bahawa kita berpolitik untuk jaga agama dan maslahah rakyat, bukan guna agama untuk kepentingan politik. Politik bagi saya bermakna, mendirikan agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Kerenah manusia yang sangat ramai tak habis kalau kita nak bincang. Apatah lagi kerenah manusia yang terlibat dengan politik.

Kalau orang luar tengok kerenah umat Islam sekarang, mereka mungkin ada pandangan negatif terhadap Islam. Tetapi apakah kerenah yang ditampilkan seseorang penganut Islam itu menggambarkan bahawa itulah Islam? Begitu juga dengan kerenah orang politik, ia tidak menggambarkan itulah makna politik yang sebenar.

Ada yang kata, saya cuma nak terlibat dengan NGO dan tak nak campur hal politik. Pandangan ini pun kita raikan. Saya orang politik dalam masa yang sama saya juga terlibat dengan NGO. Antaranya Yayasan Amal Malaysia dan NGO Media KAMI. Ada ‘bilik-bilik’ tertentu yang tak dapat dimasuki dengan uniform politik, kita masuk dengan uniform NGO. Semuanya adalah untuk Islam.

Tapi awas! Jangan sampai kita menolak politik sebagai sebahagian dari cabang Islam! – HARAKAHDAILY 15/12/2024

Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

- Advertisement -