Penduduk terkesan banjir tidak dipinggir kerajaan

- Advertisement -

TUMPAT: Kejadian tanah runtuh di Jubakar Pantai Tumpat akibat banjir baru-baru ini menjejaskan beberapa rumah penduduk.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kejadian tersebut memusnahkan beberapa rumah penduduk dan jalan Kampung Jubakar Pantai terputus sejauh 60 meter akibat arus deras Jumaat lalu.

“Melihat sisa runtuhan yang dahulunya merupakan tempat berteduh kini musnah, saya dapat rasai betapa beratnya ujian ditanggung mangsa-mangsa yang kehilangan rumah dan harta benda mereka.

“Kita tidak meminggirkan rakyat yang terkesan dengan penyaluran bantuan sama ada melalui kerajaan negeri mahu pun agensi persekutuan,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Hadir sama pada tinjauan wakil anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Laluan terbabit ditutup kepada semua jenis kenderaan bagi memastikan keselamatan penduduk.

Menurutnya juga Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan memantau lokasi tersebut secara dekat.

Sementara itu Roadcare Wilayah Kelantan dalam kenyataan memaklumkan empat laluan di Kelantan ditutup sepenuhnya akibat banjir termasuk Jalan Tumpat-Tujuh-Geting.

Selain itu jalan Kemuning-Bukit Belah ditutup akibat ‘sinkhole’ dan jalan masuk ke Stesen VHF Bukit Bakar, Machang ditutup kerana tanah runtuh dan Jalan Jelawang-Gua Musang, tanah mendap. – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -