Tingkatkan perlindungan pemegang polisi takaful

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akta Takaful 1984 yang telah beroperasi selama 40 tahun perlu dikaji semula bagi memastikan penyelesaian yang lebih proaktif demi manfaat pengguna.

- Advertisement -

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, keperluan memperkenalkan mekanisme Pelan Perlindungan Bersepadu (IP) yang membolehkan pengguna menukar tawaran awam permulaan (IPO) tanpa halangan tempoh menunggu yang panjang.

“Saya faham bahawa ada beza di antara nombor telefon dan juga pelanggan takaful. Walau bagaimanapun dalam konsep takaful ia melibatkan prinsip tabarru’ dan pengurusan risiko yang lebih kompleks yang diperlu dikaji oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tambah beliau ia seiring dengan amalan di negara jiran iaitu konsep diskaun tanpa tuntutan (NCD) dalam insurans kenderaan.

“Bila kenderaan ada nota NCD mereka dapat pengurangan. Tapi dalam kes ini bila mereka bertukar, mereka terpaksa menunggu balik tempoh boleh pertikai itu selama dua tahun sedangkan kerja ini tidak sepatutnya dibuat oleh takaful tetapi penaja jamin.

“Jadi saya mohon pihak kerajaan untuk mengkaji perkara ini kerana 40 tahun takaful Malaysia bukan hanya menjadi peneraju kepada sistem kewangan Islam tetapi sistem takaful kerana kita perlu memberikan manfaat kepada pelanggan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan memastikan isu kenaikan premium takaful diurus dengan baik memandangkan beban kos semakin meningkat.

Selain itu, beliau turut membangkitkan masalah hospital panel yang penuh mengakibatkan pelanggan tidak dapat menggunakan kad perubatan mereka.

“Apakah langkah kerajaan untuk memastikan operator takaful dapat menjaga kebajikan pencarum seperti pusat tetap boleh mendapatkan rawatan segera melalui hospital bukan panel tanpa perlu bayar dan tuntutan?

“Selain, mendahulukan duit pelanggan terlebih dahulu atau mewujudkan sistem secara langsung dalam aplikasi untuk pelanggan dan peserta takaful menyemak kapasiti hospital panel,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata pihak berkenaan sedang mengkaji isu-isu berkaitan pertukaran polisi bagi melindungi pemegang polisi daripada amalan tidak adil.

“Buat masa ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri insurans serta takaful akan mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam untuk memastikan akses penjagaan perubatan dan kesihatan yang berterusan dan berkesan,” katanya.

Dalam soalan asal, Mumtaz meminta Menteri Kewangan melihat keperluan supaya pengguna kad perubatan dan perlindungan Takaful boleh menukar operator Takaful tanpa perlu kepada kiraan semula tempoh menunggu, seumpama proses Pertukaran Nombor Mudah Alih (MNP) di mana pengguna telefon bimbit boleh mengekalkan nombor apabila bertukar penyedia perkhidmatan. – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -