
KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mencadangkan perincian pelaporan kewangan, audit dan mekanisme semakan bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti pengurusan dana baitulmal.
Menurut beliau, penukaran istilah kumpulan wang kepada baitulmal memberikan kejelasan konsep berdasarkan prinsip Islam, namun garis panduan spesifik kawal selia dana tersebut masih kurang jelas.
“Perluasan fungsi baitulmal termasuk pemberian pinjaman pendidikan dan pengurusan wakaf mencerminkan Qalwan Moden. Bagaimanapun, risiko salah guna boleh berlaku jika tiada pengawasan yang ketat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024, di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pindaan seksyen yang sama, beliau turut menyentuh tentang penubuhan Jawatankuasa Wakaf yang disifatkan sebagai langkah proaktif untuk menginstitusikan pengurusan wakaf.
Beliau berkata, fungsi seperti pelantikan mutawalli dan istibdal sekali gus memberikan struktur lebih teratur kepada pentadbiran wakaf.
“Tiada perincian tentang keanggotaan jawatankuasa wakaf khususnya kariteria pemilihan anggota dan juga kelayakan.
“Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan, pertama masukkan keperluan kepakaran dalam pentadbiran wakaf sebagai syarat keanggotaan jawatankuasa wakaf.
“Yang kedua sertakan wakil daripada komuniti setempat untuk memastikan kepentingan wakaf dipelihara ataupun jemputan dalam waktu-waktu yang diperlukan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











