
KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat.
Beliau berkata, seramai 806 orang daripada 228 keluarga ditempatkan di PPS tersebut yang dipindahkan akibat banjir masih melanda di jajahan terbabit.
“Saya menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat banjir,” katanya pada kenyataan hari ini.
Pada lawatan itu beliau mengikuti taklimat mengenai situasi semasa banjir.
Berdasarkan portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 3.47 petang ini, seramai 28,038 orang membabitkan 9,018 keluarga masih ditempatkan di 72 PPS di Kelantan.
Sebanyak 38 PPS di Tumpat membabitkan 16,096 orang daripada 5,058 keluarga dan 34 di Pasir Mas melibatkan 11,942 dengan 3,960 isi rumah. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











