
KOTA BHARU: Kelantan akan melakukan kajian terhadap cadangan pemansuhan warta Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu untuk membolehkan aktiviti penerokaan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dijalankan.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, antara punca kelewatan bahan mentah itu dikeluarkan kerana terletak dalam kawasan HSK.
“Kita akan mengkaji perkara itu sebab NR-REE jadi lambat diteroka antaranya kerana terletak dalam kawasan HSK.
“Jadi kita kena tengok semula dan kalau perlu kita akan mengambil tindakan yang serupa dengan kerajaan Perak,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan Perak menyahwartakan HSK Segari Melintang bagi penerokaan aktiviti NR-REE.
Dr Mohamed Fadzli turut memuji langkah Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad menggantikannya dengan mewartakan kawasan Hutan Simpan (HS) Durian Pipit seluas hampir 1,000 hektar.
“Tetapi kita kena tengok status bagaimana. Saya rasa apa yang Perak buat itu mungkin langkah yang baik bagi mereka, kita kena kaji dahulu lihat status HS itu macam mana.
“Sebab kita kena ganti, tetapi kalau NR-REE tu ada situ dan kita rasa benda itu menjana ekonomi untuk negeri dan rakyat Kelantan. Kita akan ambil tindakan yang serupa,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2024




















