
KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) membangkitkan cukai dividen sebanyak dua peratus yang dikenakan terhadap pemegang saham individu dengan pendapatan dividen tahunan melebihi RM100,000.
Justeru, beliau menegaskan pentingnya keseimbangan dalam dasar cukai untuk tidak membebankan rakyat dan memastikan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus berdaya saing.
“Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan memang ada rayuan daripada PMKS untuk mengecualikan mereka atas alasan yang berbeza dengan syarikat tersenarai, sebab itulah kerajaan ambil keputusan.
“Mulanya difikirkan lima peratus diturunkan kepada dua peratus selepas mengambil kira rayuan yang telah dikemukakan. Berapakah anggaran cukai yang boleh dipungut daripada kadar dua peratus ini berbanding lima peratus itu?
“Adakah RM100,000 ini satu paras yang munasabah tidak terlalu tinggi, tidak terlalu besar kepada PMKS dan tidak terlalu kecil kepada golongan ‘maha kaya’ dan kelompok T15 yang teratas ini?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Syahir yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN) turut merakamkan rasa simpati dan solidariti kepada mangsa banjir di seluruh negara termasuk di Kelangan dan Bachok.
“Semoga dipermudahkan segala urusan Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2024











