
GERIK: Pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan bahawa salah seorang daripada dua anggotanya yang hilang iaitu Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi masih belum ditemui.
Ahmad Zulhilmi yang berasal dari Sungai Petani merupakan anggota
pasukan 22 Komando, Kem Iskandar Mersing, Johor, hilang ketika melakukan rondaan dalam operasi di Banding, di sini 30 November lalu.
Mayat rakan sejawatnya anggota pasukan 21 Komando Kem Sungai Udang, Melaka, Mohd Afandi Jahwin, yang berasal dari Matu, Sarawak telah ditemui di tepi sungai.
Jasad anggota itu ditemui kira-kira tiga kilometer dari kedudukan Markas Trup pada jam 6.00 petang, 1 Disember lalu, dan disahkan meninggal dunia.
Justeru, usaha mencari Ahmad Zulhilmi masih diteruskan, bermula dari tempat kejadian di Sungai Merah, menyusuri sepanjang Sungai Perak dan membabitkan 112 anggota termasuk lima pegawai.
TDM dalam kenyataan memaklumkan, dua mangsa berkenaan bersama tujuh anggota lain dipercayai dibawa arus dalam kejadian kepala air semasa melaksanakan rondaan.
Ketika kejadian, mereka meronda berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia–Thailand, dalam Operasi Kota, Echo, Foxtrot Siri 6/2024, kira-kira 8 pagi.
Walau bagaimanapun, tujuh anggota terbabit ditemukan selamat kira-kira jam 12:30 tengah hari pada hari kejadian.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM melahirkan rasa dukacita atas kehilangan anggotanya itu dan menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga.
Dalam pada itu, mayat Afandi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jamerong, 8:45, malam tadi. – HARAKAHDAILY 4/12/2024











