
KUALA LUMPUR: Satu petisyen mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletak jawatan dengan segera ekoran kegagalannya sebagai menteri berkenaan telah dilancarkan sejak 28 Nov lalu.
Petisyen tersebut merupakan inisiatif Gerakan Pengundi Sedar (GPS) sebagai tanda ketidakpuasan hati rakyat terhadap keputusan dan tindakan King Sing selaku menteri dalam Kerajaan Madani.
Semakan Harakahdaily di laman web petisyen tersebut iaitu Change.org mendapati petisyen itu telah mendapat hampir 35,000 tandatangan setakat jam 4 petang.
“Mengapa Tiong King Sing wajib letak jawatan? Baru-baru ini, negarawan Tun Dr Mahathir melahirkan kekesalan melihat terlalu banyak papan tanda bertulisan Cina di sekitar bangunan membeli-belah di ibu kota. Isu tersebut mendapat perhatian Tiong King Sing.
“Tiong King Sing berkata isu penguatkuasaan peraturan papan dwibahasa telah mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas yang tidak perlu. Walhasil, pelancong persoalkan keterbukaan Malaysia.
“Kata Tiong lagi, kepelbagaian bahasa mencerminkan kemesraan negara terhadap pelancong. Sekali lagi Tiong King Sing gagal menjadi Menteri yang menjaga kesenian dan kebudayaan tanah air.
“Tiong nampaknya sukar terima hakikat bahawa bahasa Melayu satu-satunya bahasa kebangsaan. Itu identiti negara kita!,” kata GPS menerusi petisyen itu.
GPS turut menyenaraikan sebab lain mengapa King Sing perlu melepaskan jawatannya serta-merta, antaranya Menteri Kerajaan Madani itu didakwa mengutamakan pelancong China.
Ia apabila beliau meminta rakyat Malaysia tidak menunjukkan reaksi berlebihan apabila membenarkan pelancong dari China datang ke negara kita ketika kes Covid-19 meningkat semula sedangkan negara lain menyekat pelancong China dari masuk ke negara mereka.
Selain itu, King Sing juga dikatakan pernah menjadi ‘hero’ menimbulkan kekecohan di KLIA untuk mempertahan pelancong China yang ditahan pegawai imigresen.
“Sebelum lebih banyak lagi kebobrokan dilakukan Tiong King Sing terhadap indentiti negara, kami rakyat Malaysia mendesak supaya Tiong King Sing meletak jawatan sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya segera.
“Perkara 43(5) memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan jawatan Menteri yang disandang Tiong King Sing jika mendapat nasihat Perdana Menteri untuk berbuat demikian.
“Maka, kami juga menggesa YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, untuk membatalkan jawatan yang disandang Tiong King Sing.
“Atau menasihati Tiong King Sing untuk meletakkan jawatannya menurut Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan. Jika Tiong terus kekal memegang jawatan tanpa dipecat atau meletakkan jawatan, ia menunjukkan Perdana Menteri gagal.
“Anwar sepatutnya memastikan semua anggota kabinetnya menghormati sumpah setia yang dilafazkan di hadapan Yang Di-Pertuan Agong. Ini merupakan satu penghinaan kepada Ketua Utama Negara yang seharusnya tidak ada tolak ansur,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2024











