Khidmat Malaysia Kedah belanja RM3k sehari sedia makan

Dapur Rakyat untuk bantu mangsa banjir

- Advertisement -

POKOK SENA: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Negeri Kedah menerusi Dapur Rakyat telah menyediakan 6,000 pek makanan, sehingga semalam.

- Advertisement -

Setiausaha Khidmat Malaysia Kedah, Mohd Saifuddin Hassan berkata, pek makanan itu diagihkan kepada mangsa banjir sekitar Pokok Sena, Kubang Pasu, Anak Bukit dan Alor Setar.

“Dapur Rakyat ini kita mulakan operasi pada Sabtu 30 November lepas, dan sampai hari ini, empat hari dahlah. Semua urusan penyediaan makanan ini, dilakukan oleh sukarelawan yang berdekatan dan lain-lain kawasan,” jelasnya ketika dihubungi lewat petang semalam.

Katanya lagi, setiap hari hampir RM3,000 dibelanjakan untuk menyediakan makanan tetapi kos berkenaan bertambah sekiranya jumlah makanan disediakan lebih daripada yang dianggarkan setiap hari.

“Anggaran kita 1,000 pek sehari tetapi kita akan buat lebih apabila permintaan bertambah atau ada pihak yang sumbang atau taja,” ujar Ketua Bilik Operasi Khidmat Malaysia Kedah itu lagi.

Sungguhpun begitu kata beliau yang sinonim dengan panggilan Naka, Khidmat Malaysia Kedah juga menerima sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), pihak persendirian dan lain-lain untuk membantu mangsa banjir ini.

Contohnya ujar beliau, dari usahawan terkenal Pak Mat Western, Yayasan Hasani, termasuk dua NGO daripada United Kingdom iaitu Thamaratul Jannah dan Comunity Outreach.

“Ada yang beri wang tunai. Ada yang sumbang bahan mentah,” tambah beliau memaklumkan slain Dapur Rakyat di pusat operasi induk di Pokok Sena, dua lagi Dapur Rakyat yang beroperasi iaitu di Alor Setar dan Kubang Pasu.

Dalam pada itu kata Naka, Dapur Rakyat di Markas Pokok Sena akan beroperasi sehingga Sabtu ini, sementara di Alor Setar, setakat hari ini sahaja.

“Sehingga hari ini KM Kedah dah belanjakan sebanyak RM20,000, tidak termasuk sumbangan bahan mentah. Dan kita memerlukan lagi kira-kira RM25,000 hingga operasi tamat Sabtu ini,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 4/12/2024

- Advertisement -