PBT sasar sifar bahan buangan di tapak pelupusan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan berusaha mencapai sifar bahan buangan di tapak pelupusan sampah.

- Advertisement -

Usaha terbaharu dilaksanakan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dengan kerjasama Mafiq Global Sdn. Bhd.

Baru-baru ini MDGM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat terbabit bagi melaksanakan sifar bahan buangan.

Pada MoU tersebut MDGM diwakili Yang Dipertua, Nik Raisnan Nik Daud, manakala Mafiq Global diwakili Pengarah Urusan Muhammad Afiq Alias.

Majlis bersejarah itu disaksikan Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM), Dr Mohd Roshdi Hassan.

Dr Mohd Roshdi berkata, kerjasama tersebut melibatkan pelaksanaan teknologi pemprosesan sisa domestik kepada bahan api terbitan (Refuse Derived Fuel – RDF) yang bakal dilaksanakan di Gua Musang.

“Projek itu dijangka mampu menghasilkan 50 tan RDF sehari, dapat membantu mengurangkan sisa buangan ke tapak pelupusan. Ia juga membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan.

“Usaha ini merupakan langkah penting untuk menyokong sektor tenaga boleh diperbaharui serta mendukung inisiatif pembangunan lestari seiring dengan aspirasi negara,” katanya pada program tersebut.

Tambahnya, teknologi yang bakal digunakan terbukti berkesan di negara maju termasuk Eropah dan Indonesia, berjaya menghasilkan lebih 60 tan RDF sehari.

Kata beliau kerjasama itu juga mencerminkan komitmen Kelantan menerajui transformasi hijau dengan memanfaatkan teknologi moden bagi melestarikan alam sekitar. – HARAKAHDAILY 27/11/2024

- Advertisement -