
SHAH ALAM: Pembangunan lembangan tebatan banjir adalah untuk mengurangkan tekanan pada sistem saliran dan mencegah banjir yang boleh merosakkan harta benda dan mengancam keselamatan penduduk.
Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin (PN-Sungai Burong) mencadangan agar Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan yang masih ada untuk memastikan projek dijalankan dapat diselesaikan secara menyeluruh.
“Jawapan YB Pandan Indah berikan seolah-olah menunjukkan adanya fasa.. sebab mengikut aduan daripada penduduk apabila berlaku fasa-fasa dalam projek ini, dia tidak akan menyelesaikan secara menyeluruh, malah akan terkena kepada fasa yang terabai.
“Jadi saya mencadangkan supaya mengeluarkan peruntukan yang masih lagi ada dilihat pada item nombor yang dinyatakan itu untuk membuat pada skala yang lebih besar dan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan penggulungan Exco Infrastruktur dan Pertanian, Ir Izham Hashim bagi mewakili ulasan Exco Perumahan dan Kebudayaan di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Ir Izham Hashim berkata, pendekatan berfasa diambil kerana skala projek yang besar terutamanya dalam pembinaan lembangan tebatan banjir.
“Kalau lembangan itu terlalu besar macam sungai Selangor, kita tidak boleh buat serentak keseluruhan kerana kos tinggi dan sangat lama,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024











