MARA Inc beli hartanah lebih nilai di UK dan Australia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: MARA Inc didapati melakukan pembelian hartanah terlebih nilai di London, United Kingdom (UK) dan Melbourne, Australia, masing-masing pada 2013 dan 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata transaksi membabitkan pembelian Dudley International House di 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street di Melbourne, diikuti Beaumont House di London juga tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).

- Advertisement -

Menurutnya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kemudian merayu dan perkara itu dibawa ke Majlis Ekonomi yang kemudian memberi kelulusan pada 2013

Mas Ermieyati juga memaklumkan bahawa kes pembelian hartanah terlebih nilai di Melbourne, Australia, disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini dalam perbicaraan di mahkamah.

“PAC mencadangkan KKDW, Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) dan MARA Inc memastikan cadangan pelaburan sama ada dalam dan luar negara termasuk pemerolehan aset bernilai tinggi seperti hartanah mematuhi dasar terkini kerajaan dengan keutamaan dalam pelaburan domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas pembentangan Laporan Pengurusan Mara Inc di bawah KKDW di Dewan Rakyat, semalam.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, cadangan berkenaan perlu mendapat kelulusan MOF terlebih dahulu dan keputusan MOF perlu dipatuhi bagi mengelakkan skandal pembelian hartanah berulang.

Penemuan dan syor PAC berhubung Pengurusan MARA Inc adalah hasil tiga prosiding pada 30 dan 31 Julai lalu, selain 19 September lalu.

Beliau berkata, PAC berpandangan tindakan MARA Inc memohon penukaran hutang sedia ada Premiera Hotel kepada ekuiti buat kali kedua selepas kali pertama pada 2015 sepatutnya tidak berulang.

Menurutnya, PAC mengesyorkan KKDW, MARA, MARA Corp dan MARA Inc perlu memastikan Premiera Hotel mempunyai perancangan jelas untuk memastikan penukaran hutang kepada ekuiti dapat membantu memberi pulangan ke arah kelestarian syarikat.

Melalui laporan sama, PAC mengesyorkan beberapa perkara untuk dilaksanakan seperti KKDW, MARA dan MARA Inc perlu memastikan semua projek pembangunan termasuk pembangunan hartanah dan projek tenaga boleh baharu serta pelan pemasaran disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang telah ditetapkan agar dapat menjana keuntungan bersih yang tinggi.

MARA Corp juga perlu tegas mengawal selia semua anak syarikat supaya dapat menjana keuntungan dan mampu membayar balik hutang dan membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan;

“MARA Inc perlu menyediakan Pelan Operasi Standard (SOP) penyewaan hartanah yang lengkap supaya isu tunggakan sewa tidak berlaku dan tidak menjadi hutang lapuk , selain hendaklah menggubal satu polisi yang lengkap dan jelas berhubung penilaian hartanah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024

- Advertisement -