Muhyiddin kekal terajui Bersatu: Ucap tahniah buat semua

Muhyiddin menyeru kesemua ahli Bersatu memperkukuhkan parti itu demi memastikan kelangsungan perjuangan dan menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi tahun 2024-2027 menyaksikan jawatan Presiden kekal disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Timbalan Presiden kekal disandang oleh Dato’ Seri Hamzah Zainudin selepas kedua-duanya menang tanpa bertanding.

Tiga jawatan Naib Presiden pula turut mengekalkan muka sama apabila dimenangi oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin; Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan mantan Ahli Parlimen Tambun, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

- Advertisement -

Jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pula diisi antaranya bekas Ketua Armada Bersatu yang juga merupakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid.

Dalam kenyataannya, Muhyiddin berkata, “Alhamdulillah, proses pemilihan Bersatu telah selesai dengan sempurna.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya memenangi pemilihan kali ini.  Kepada yang tidak berjaya, teruskan perjuangan.

“Inilah masa untuk kita bertaut semula dan perkukuhkan parti demI memastikan kelangsungan perjuangan parti dan menghadapi cabaran yang lebih besar di hadapan kita.

“Kepada semua barisan kepimpinan yang telah terpilih dalam pemilihan ini, khususnya Majlis Pimpinan Tertinggi, sayap-sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Ketua-Ketua Bahagian, galaslah amanah dan tanggungjawab anda mengemudi parti dengan sebaik-baiknya.

“Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dato’ Seri Abdul Azim Mohd  dan seluruh anggotanya yang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab mengendalikan pemilihan parti dengan baik,” katanya.

Sementara turut mengisi jawatan MPT ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin; ADUN Bukit Kepong, Dato’ Dr. Sahruddin Jamal; ADUN Sungai Manik, Dato’ Zainol Fadzi dan ADUN Bemban, Mohd Yadzil Yaakub.

Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga merupakan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengekalkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah selepas menerima 150 undi menewaskan Rosni Sham Samion yang hanya meraih empat undi.

Mantan Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pula menang jawatan Ketua Bersatu Bahagian Alor Gajah selepas menerima 105 undi berbanding pencabarnya, Mohd Zamri Abu Bakar yang mendapat 56 undi. – HARAKAHDAILY 5/11/2024

- Advertisement -