Festival Kaligrafi Islam perkukuh warisan seni jawi

Dato’ Satiful Bahari Mamat
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Majlis Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024 merupakan platform penting bagi memupuk minat generasi muda terhadap seni khat dan memperkukuhkan warisan seni Jawi.

- Advertisement -

Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, seni khat perlu dibangkitkan kembali di Tengganu agar seiring dengan tema dan aspirasi kerajaan negeri.

“Ramai pelajar kita menunjukkan minat dan bakat yang luar biasa dalam seni khat. Kebangkitan seni ini sangat penting di Terengganu, selari dengan budaya dan sejarah tamadun negeri yang kaya, termasuk penemuan Batu Bersurat bertulisan Jawi yang menjadi bukti warisan kita.

“Kita harap penulisan Al-Quran dengan nilai seni tersendiri banyak sumber-sumber kita yang menggambarkan tamadun nilai warisan kita yang tinggi ini dapat diteruskan dan diperkayakan untuk masa-masa akan datang.

“Hasrat kita adalah untuk melahirkan tokoh khat semula yang dahulunya agak terkenal juga di Tengganu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis, di sini, semalam.

Festival anjuran Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) dengan kerjasama Persatuan Khat Terengganu ini menyaksikan sambutan hangat dengan penyertaan seramai 250 peserta.

“Saya ucap taniah kerana menggamit peserta yang secara keseluruhannya memenuhi keperluan dalam dewan.

“Jadi kita rasa penuh dan kebanyakan negeri-negeri luar pada Tengganu pun turut hadir untuk sama-sama memeriahkan festival kali ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024

- Advertisement -