
KAPAR: “Adakah Perbadanan Kemajuan Negara Selangor (PKNS) melakukan penyenggaraan berjadual untuk pastikan kolam tadahan tersebut berfungsi bagi mencegah banjir berterusan?”
Itu persoalan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali susulan maklumat yang diperolehnya mengenai kolam tadahan banjir di Bandar Sultan Sulaiman, sebuah bandar berdekatan Northport yang merupakan sebahagian daripada Pelabuhan Klang dan penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
“Penduduk Bandar Sultan Sulaiman (BSS) mengadu jalan utama sekeliling masjid BSS kerap digenangi air terutama apabila hujan lebat dan air pasang,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa telah menjemput Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turun padang meninjau isu yang dibangkitkan penduduk BSS untuk diambil tindakan mitigasi banjir dengan kadar segera.

“Difahamkan ada enam kolam takungan banjir di BSS tetapi hanya satu yang di bawah kelolaan JPS.
“Lima buah lagi dibina oleh pemaju BSS iaitu PKS dan sehingga hari ini masih belum diserahkan kepada JPS.
“Maka, JPS tidak bertanggungjawab ke atas kolam tadahan tersebut.
“Justeru, diharapkan PKNS dan kerajaan Selangor ambil perhatian segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024




















