Gilis kaki mangsa dengan kereta: Suspek positif dadah Benzo

Mohd Iqbal Ibrahim
- Advertisement -

SHAH ALAM: Seorang pemandu lelaki ditahan polis kerana dipercayai bersikap membuli serta melanggar seorang pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kecederaan di kaki kanannya, di sini, pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Iqbal Ibrahim, berkata mangsa merupakan seorang jurulatih kapal laut, 49, yang mana mangsa sedang memandu untuk pulang ke rumah bersama keluarga. 

- Advertisement -

“Tiba-tiba (mangsa) telah didatangi sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suspek secara melulu dan terus menghimpit kereta mangsa. 

“Suspek juga bertindak memberhentikan keretanya secara tiba-tiba di hadapan kereta mangsa.

“Kemudian suspek telah datang ke arah kereta mangsa dan mengetuk cermin tingkap sebelah pemandu. Suspek cuba menarik anak kunci kereta ketika mangsa membuka pintu namun tidak berjaya. 

“Ketika mangsa keluar dari keretanya, telah berlaku pertengkaran mulut dengan suspek. Suspek kemudian masuk semula ke dalam keretanya dan cuba melanggar mangsa sebanyak dua kali,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, mangsa berjaya mengelak daripada dilanggar suspek pada kali pertama, namun kali kedua mangsa telah dilanggar sehingga terjatuh menyebabkan kaki kanan digilis dengan tayar kereta suspek.

“Suspek kemudian terus memecut laju melarikan diri. Mangsa mengalami kecederaan keretakan kecil di kaki kanan dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Shah Alam,” katanya.

Oleh demikian, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas suspek dan merampas keretanya di Meru, Klang pada 9 Oktober lalu, pada jam 5.30 petang.

“Tangkapan merupakan seorang lelaki Melayu, 26 tahun, dan bekerja sebagai penjual komponen kenderaan, tiada mempunyai sebarang rekod jenayah namun hasil ujian saringan awal air kencing dapati positif dadah jenis Benzo. 

“Reman ke atas tangkapan akan dipohon di Mahkamah Shah Alam pada hari ini jam 10 pagi, tadi,” katanya.

Justeru, ujar Mohd Iqbal, pihaknya akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

“Selain, boleh juga dikenakan denda bagi pertuduhan pertama manakala hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 bagi pertuduhan kedua jika disabitkan dengan kesalahan. 

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Asistan Superintenden Polis (ASP) Md Anuar Md Amilah di talian 019-225 5597,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2024

- Advertisement -