
ARAU: Dewan Muslimat PAS Kawasan Arau komited membantu mangsa-mangsa banjir dengan mengedarkan 250 pek sarapan pagi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Arau, di sini pagi tadi.
Ketua Muslimat PAS Arau, Husna Hashim berkata, seramai 171 mangsa daripada 45 keluarga dipindahkan ke PPS tersebut setakat semalam.
“Ada di kalangan mereka yang mengadu mengenai kerosakan rumah akibat banjir. InsyaAllah selepas ini kami merancang untuk membantu membersihkan rumah mereka sebaik sahaja air banjir surut,” ujar Husna.
Sebelum ini, pihaknya menyampaikan 236 pek makanan kering sebagai bantuan awal kepada mangsa-mangsa banjir.
Usaha ini turut disertai oleh Timbalan Ketua Muslimat PAS Arau, Latifah Mat, serta Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) yang lain.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa yang terjejas, dan kami akan terus berusaha menyokong mereka sepanjang tempoh pemulihan ini,” tambah Husna.
Dalam pada itu, Husna turut mengingatkan penduduk di Perlis agar bersiap siaga menghadapi gelombang kedua air pasang besar yang dijangka berlaku pada 16 dan 17 Oktober ini.
Ketinggian air dijangka mencecah 3.7 meter, lebih tinggi berbanding paras 3.4 meter yang dicatatkan baru-baru ini.
“Penduduk di Perlis perlu lebih berwaspada dan tidak menunggu sehingga saat akhir untuk berpindah. Patuhi arahan dari pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke PPS,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/10/2024











