
DUNGUN: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menzahirkan rasa dukacita atas tragedi kemalangan yang meragut nyawa tiga orang pelajar UiTM Dungun, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian tersebut, empat pelajar terlibat, dengan tiga daripadanya dilaporkan meninggal dunia, manakala seorang lagi kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Dungun.
“Takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa atas kejadian yang menyayat hati ini. Semoga diberi kesabaran dan kekuatan atas ujian yang menimpa.
“Semoga kesemua mangsa yang meninggal dunia juga dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Tambah beliau, difahamkan kesemua mangsa berasal dari luar Terengganu.
Terdahulu, dilaporkan kejadian yang berlaku sekitar jam 7.20 malam, telah meragut nyawa Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, Khairil Anuar Jamaluddin, 20, dan Mohd Akhmal Tukirin, 20. Seorang lagi rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, mengalami kecederaan parah.
Kemalangan berlaku ketika kesemua mangsa menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Y15 pulang selepas makan malam.
Mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Honda CRV yang dipandu oleh seorang wanita, mengakibatkan salah seorang daripada mereka tercampak ke dalam longkang.
Ketiga-tiga pelajar tersebut meninggal dunia di tempat kejadian, sementara SUV yang merempuh mereka turut terbabas ke dalam longkang. – HARAKAHDAILY 10/10/2024














