Kes 3 pelajar UiTM Dungun maut dirempuh SUV disiasat

- Advertisement -

DUNGUN: Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes tiga orang pelajar  Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dirempuh Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Honda CRV, dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, suasana sayu menyelubungi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun apabila tiga pelajar kampus berkenaan terkorban dalam kemalangan tragis di hadapan universiti tersebut, malam tadi.

- Advertisement -

Kejadian yang berlaku kira-kira  jam 7.20 malam, telah meragut nyawa Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, Khairil Anuar Jamaluddin, 20, dan Mohd Akhmal Tukirin, 20. 

Seorang lagi rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, mengalami kecederaan parah.

Kemalangan berlaku ketika kesemua mangsa menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Y15 pulang selepas makan malam. 

Mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Honda CRV yang dipandu oleh seorang wanita, mengakibatkan salah seorang daripada mereka tercampak ke dalam longkang. 

Ketiga-tiga pelajar tersebut meninggal dunia di tempat kejadian, sementara SUV yang merempuh mereka turut terbabas ke dalam longkang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata, pihaknya terima panggilan kira-kira jam 7.26 petang bersama 10 anggota dan dua EMRS bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat seorang mangsa yang terjatuh ke dalam longkang itu dibawa naik anggota bomba.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2024

- Advertisement -