
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan dua negeri sehingga 2 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara beberapa kawasan yang terlibat adalah di Johor dan Sarawak.
“Kawasan terlibat di Sarawak di Sarikei (Sarikei dan Meradong), Mukah (Tanjung Manis dan Daro) dan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).
“Selain itu, kawasan di Johor (Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2024




















