
KUALA LUMPUR: Insiden mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan, Perak pada bulan lalu dilihat akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan menjentik sensitiviti rakyat Malaysia.
Naib Ketua Pemuda PAS, Hanif Jamaluddin berkata, insiden itu malah akan mengundang kemarahan rakyat Malaysia dan diibaratkan seperti menginjak-injak keharmonian yang telah dipelihara selama ini di dalam negara.
“Maka kita tertanya-tanya, apakah mereka ini warga China yang datang ke Malaysia, ataupun warga China yang telah diberi kerakyatan tetapi masih setia kepada negara asal mereka?
“Sebab itu walau apa pun sebab, apa pun alasan yang mereka berikan, tindakan ini amat melampau dan melambangkan ketidaksetiaan mereka kepada tanah air kita Malaysia,” katanya menerusi satu perkongsian video di laman Facebook beliau.
Justeru, beliau menyeru agar laporan polis dilakukan terhadap insiden berkenaan yang dianggap sebagai melampau dan berharap tindakan tegas dapat diambil.
“Jadi nampaknya mereka ini semakin berani untuk membuat provokasi dan menyerlahkan kecenderungan mereka. Sampai bila kita mahu membiarkan mereka menconteng arang di muka kita?
“Demi tanah pertiwi ini, saya menyeru kepada semua parti-parti politik, kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan), NGI (tokoh individu) di seluruh negara untuk sama-sama kita buat laporan polis terhadap tindakan mereka ini yang melampau.
“Kita harapkan satu tindakan yang tegas diambil kepada mereka supaya perkara ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024




















