Sejauh mana pesawat berpatah balik jejas permintaan pengguna?

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Harga siling bagi Syarikat Penerbangan Negara, Malaysia Airlines (MAS) perlu ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan semasa musim bukan perayaan.

- Advertisement -

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, ia sebagaimana dimaklumkan sewaktu musim perayaan ditetapkan kadar harga silingnya pada harga RM599 tiga hari sebelum berlepas.

Selain itu beliau berkata, baru-baru ini negara digemparkan dengan insiden yang mencemaskan melibatkan MAS, di mana ada pesawat yang terpaksa berpatah balik disebabkan masalah teknikal dan enjin.

“Dan ada pesawat yang terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain. Jadi soalan saya sejauh manakah kes-kes seperti ini menjejaskan permintaan pengguna terhadap MAS.

“Dan adakah disebabkan kekurangan kepakaran di negara kita menyebabkan berlaku kes seperti ini. Sebab kita digemparkan juga dengan banyak jurutera ataupun pilot daripada MAS yang telah beralih ke syarikat lain,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah walau bagaimanapun tidak menjawab soalan berkaitan penetapan harga siling bagi penerbangan musim bukan perayaan.

Dalam jawapan soalan kedua, beliau berterima kasih kepada Shaharizukirnain yang telah menyentuh mengenai isu penerbangan seperti KL-Jeddah, Qatar-KL, dan KL-Hyderabad.

Menurutnya, isu-isu tersebut berpunca daripada cuaca, masalah teknikal, dan keselamatan yang diutamakan oleh jurutera-jurutera di industri penerbangan.

Terangnya, walaupun terdapat situasi di mana pesawat terpaksa berpatah balik, keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan, dan usaha berterusan dilakukan untuk melahirkan lebih ramai profesional tempatan dalam bidang itu.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sejauh manakah pengurangan penerbangan Malaysia Airlines mendatangkan kesan kepada pengguna dan apakah terdapat alternatif serta pemantauan bagi memastikan kos tiket penerbangan tidak membebankan pengguna khususnya penduduk Sabah dan Sarawak yang banyak bergantung kepada pengangkutan udara. – HARAKAHDAILY 28/10/2024

- Advertisement -