Ismi ketuai PKM Parit rehlah ke Kedah, Perlis

Ismi (tengah) bersama-sama ahli rombongan khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parit dalam program rehlah ke Kedah dan Perlis.
- Advertisement -

PERAK: Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib telah memimpin rombongan khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parit dalam program rehlah ke Kedah dan Perlis.

Menurutnya, program yang bermaksud mengadakan ‘lawatan atau berkunjung ke sesuatu tempat’ itu diadakan selama dua hari itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan ahli rombongan serta jentera pilihan raya Parlimen Parit. 

“Rombongan ini bukan sahaja simbol perpaduan, tetapi juga platform untuk memupuk nilai kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli PAS dan masyarakat sekitar.

- Advertisement -

“Program rehlah ini turut memberi ruang kepada ahli rombongan untuk beristirahat sambil mendalami pengalaman di negeri-negeri utara, sekaligus menambah semangat dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat Parlimen Parit,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya. 

Beliau berkata, rombongan yang dianjurkan bersama Halaqat Muqarabin Bota disertai oleh Pengarah PKM yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit, Zawawi Mat Ghazali; Pegawai Khas merangkap Pengarah JPRP Parit, Abd Razak Mat Taha; Setiausaha Parit, Jamaludin Talib; Pegawai Kewangan PKM, Ustaz Abdul Samad Mohd Zaini serta Ketua Muslimat PAS Parit, Fasihah Marsom. 

Turut serta ialah ahli-ahli Dewan Muslimat PAS Parit dan Ahli Jawatankuasa (AJK) kawasan PAS Parit.

Ismi berkata, sebelum rombongan sampai ke destinasi pertama iaitu di Murtadha Dakwah Centre (MADAD), terlebih dahulu mereka berkumpul di hadapan PKM Bota.

Katanya, sepanjang hari pertama, rombongan dibawa melawat beberapa tempat menarik seperti Tanjung Dawai dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Arau di Perlis. 

“Di sebelah petang, rombongan turut berpeluang mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan mengunjungi Kampung Warna yang terkenal dengan keunikan seni dan budaya masyarakat setempat. 

“Aktiviti hari pertama diakhiri dengan solat Maghrib di Masjid Al-Madi.

“Sementara, aktiviti hari kedua diteruskan dengan solat Subuh di Maahad Tahfiz Imam Nawawi, sebelum rombongan meneruskan lawatan ke Kompleks PAS Kedah dan lokasi popular di Kedah iaitu  Pekan Rabu,” ujarnya. 

Tambah Ismi lagi, aktiviti di sebelah petang, mereka berkunjung ke PKM Bandar Baru dan mengadakan sesi pertemuan bersama Prof. Ts Dr Mohd Suffian Yusoff. 

Justeru, katanya program rehlah ini disudahi dengan perjalanan pulang ke Bota pada petang hari yang sama.

“Diharapkan program seumpama ini dapat meningkatkan lagi semangat kerja berpasukan dan komitmen ahli PAS dalam memastikan kelangsungan program-program yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024

- Advertisement -